Covid-19 Tak Kenal Asal Dari ‘Kayangan’ Atau Dari Bumi – Ismail Sabri

Sejak semalam hangat diperkatakan apabila beberapa doktor mendedahkan perangai menjengkelkan sikap segelintir golongan elit atau ‘kluster kayangan’ yang bersikap biadap serta enggan memberi kerjasama kepada petugas kesihatan.

Perkara itu turut mendapat perhatian Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan bahawa kedudukan dan darjat seseorang itu tidak boleh menjamin mereka terselamat daripada virus membawa maut itu.

Menurut Ismail Sabri lagi, sebagai golongan yang berkedudukan tinggi mereka seharusnya menunjukkan sikap yang lebih bertamadun dan contoh yang baik daripada orang lain.

“Saya harap ini kesedaran sendiri kerana Covid-19 tidak kenal dari kayangan ataupun daripada bumi. Mereka tidak kenal siapa dan tiada siapa yang dibezakan oleh Covid-19.

“Walaupun kaya-raya, tidak terkecuali akan dijangkiti oleh Covid-19,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata individu yang tidak memberikan kerjasama kepada pasukan barisan hadapan ketika berada di pusat kuarantin atau hospital juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Dari segi undang-undang saya percaya mungkin ada yang menghalang petugas penjawat awam menjalankan tugas masing-masing dan tindakan boleh diambil,” katanya.

Ada banyak masa terluang? Follow kami di Facebook & Instagram 🙂

Leave a Reply