Dr Noor Hisham Dinobat Antara 3 Doktor Terbaik Dunia Oleh Media China

Meskipun saban hari kes COVID-19 di Malaysia mencatatkan peningkata, namun rakyat boleh menarik nafas lega di atas kecekapan kerajaan negara kita dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membendung penularan wabak tersebut.

Setiap hari, kelibat Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham antara yang dinanti ramai untuk mengetahui laporan status terkini mengenai kes COVID-19. Sentiasa dalam keadaan tenang dalam memberikan maklumat kepada masyarakat, ramai yang menyenangi figura ini.

Atas kecekapan beliau mengendalikan kes COVID-19, Datuk Dr Noor Hisham telah dinobatkan antara 3 doktor terbaik dan diyakini di dunia atas usahanya menangani wabak COVID-19 di negara ini.

Pengiktirafan itu diberikan oleh sebuah stesen televisyen China, Global TV Network. Turut tersenarai antara tiga terbaik itu adalah Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Ketiga-tiga mereka menerima pujian masyarakat sejak beberapa minggu ini kerana menjadi sumber maklumat paling dipercayai dan berjaya menenangkan orang ramai di negara masing-masing ketika panik melanda akibat penularan wabak berkenaan.

Dr. Noor Hisham, 56 tahun, yang memegang jawatan Ketua Pengarah sejak 2013, dilabel sebagai individu paling dipercayai oleh rakyat Malaysia kerana sering mengemas kini situasi semasa berkenaan COVID-19 di media sosial miliknya.

Malah, beliau juga dipuji kerana sentiasa sabar menjawab apa sahaja persoalan yang diajukan wartawan ketika sidang media.

Dr. Fauci dan Dr. Bloomfield juga disifatkan sebagai individu berpengaruh di negara masing-masing apabila secara konsisten mengemas kini maklumat terbaharu, selain sering dilihat bertugas dalam tempoh masa yang lama.

SUMBER: Malay Mail

Leave a Reply