Nama Namewee tidak dapat dipisahkan lagi dengan kisah kontroversi bermula dari lahirnya lagu Negarakuku dan beberapa lagi video yang mencetuskan perdebatan dan pertikaian terutamanya masyarakat Melayu sehinggakan laporan polis dibuat terhadapnya.
Terbaru, nampaknya penyanyi itu kini diharamkan di negara China apabila dituduh menghina negara dan rakyat negara itu menerusi lagu terbaru bertajuk ‘Fragile’.
Difahamkan lagu tersebut dikatakna lantang menyokong kemerdekaan buat Hong Kong dan Taiwan. Bagaimanapun, Namewee berkata dia tidak pernah menyesal mengeluarkan lagu tersebut sehingga diharamkan oleh negara berkenaan.
Lagu dalam bahasa Mandarin yang turut menampilkan penyanyi China Australia Kimberley Chen itu digambarkan sebagai lagu romantis namun penuh makna dan metafora.
Rata-rata warga China mendakwa Namewee seolah mengejek rakyat negara China. Lebih mengejutkan apabila Namewee turut memasukkan elemen kelawar dalam muzik video lagu berkenaan seolah mengaitkan COVID-19 adalah datang dari China.
Meskipun lagu tersebut mendapat pujian daripada peminat, namun rakyat China seolah tidak senang dengan kandungan muzik video berkenan. Difahamkan, Namewee dan Chen diharamkan di China selepas lagu tersebut dimuat naik.
Tidak mudah melatah dengan isu tersebut, Namewee berkata dia tidak pernah berkata apa-apa mengenai kemerdeaan Hong Kong dan Taiwan seperti yang didakwa.
“Saya tidak pernah berkata apa-apa [mengenai kemerdekaan Hong Kong dan Taiwan]. Jika anda tidak percaya saya, anda boleh melakukan carian.
“Mengenai soalan ini, anda harus bertanya kepada penduduk Hong Kong dan Taiwan apa pendapat mereka. Warganegara saya adalah Malaysia. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka,” katanya.
SUMBER: The Vocket, Variety