Rakyat Indonesia Halang Jenazah COVID-19 Ditanam Kerana Bimbang Dijangkiti

Seperti kita tahu mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 perlu dikebumikan segera namun di Indonesia ada di beberapa tempat dimana rakyat mereka menghalang pihak berkuasa untuk menanam jenazah pesakit COVID-19 kerana bimbang dijangkiti wabak membawa maut itu.

Meskipun sudah dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa segala urusan pengebumian akan dilakukan mengikut prosedur namun mereka tetap menghalang daripada ianya diteruskan.

Memetik laporan Detik, sebuah ambulans terpaksa berpatah balik kerana tidak dapat meneruskan urusan pengebumian di Pemakaman Pannara, Makassar, Sulawesi Selatan.

Pihak polis tempatan memberitahu sekumpulan penduduk tempatan berkumpul di sekitar tanah perkuburan sejak jam 3 petang bagi menghalang jenazah ditanam di kawasan tersebut semasa ambulans tiba sekitar waktu Asar.

Malah kejadian sama turut terjadi di Tasikmalaya pada Sabtu lalu, dimana puluhan penduduk setempat berkumpul di Tempat Pemakaman Umum (TPU) Tionghoa Bong, Tamansari menolak jenazah seorang berusia 71 tahun untuk di tanam kawasan tersebut.

Malah, penduduk disitu turut memasang kain rentang yang tertulis ‘Kami Masyarakat Sindangsono-Sindanglengo Menolak Tegas Penguburan Jenazah Untuk Sementara Waktu’.

Perkara itu turut mendapat campur tangan pihak polis yang terpaksa berunding dengan penduduk tempatan namun gagal mencapai persetujuan sehingga jenazah itu kemudian dikembalikan ke hospital kerana tidak dapat dikebumikan.

Turut berlaku kejadian sama di Bandung apabila jenazah telah dihalang untuk ditanam. Namun perkara itu selesai selepas Pemerintah Provinsi Jawa Barat, menggunakan tanah milik kerajaan di Bumi Perkemahan Kiarapayung, Sumedang sebagai makam.

Di Bandar Lampung pula, jenazah mangsa COVID-19 turut ditolak pemakamannya sebanyak dua kali di lokasi yang berbeza oleh penduduk setempat. Namun akhirnya jenazah di kebumikan di tanah milik kerajaan di TPU Kota Baru, Lampung Selatan.

Tidak pasti mengapa kejadian ini boleh terjadi di Indonesia. Namun ketakutan penduduk setempat itu difahamkan kerana kurangnya informasi serta maklumat bagaimana wabak ini bertindak balas.

Dalam pada itu, Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Said Aqil Siroj turut meminta umat Islam Indonesia tidak menolak jenazah positif COVID-19 di tanam kerana jenazah telah dikendalikan mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

SUMBER: Kompas

Leave a Reply