SOP Ibadah Di Masjid & Surau Sudah Siap, Tunggu Arahan Kerajaan

Umum mengetahui hari ini bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana lebih banyak kelonggaran dibuat. Malah, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi.

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata garis panduan pembukaan semula masjid dan surau bagi aktiviti agama telah pun siap.

Menurut Dr Zulkifli lagi, garis panduan itu telah pun dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 30 April yang lalu.

Kata beliau lagi, garis panduan berkenaan telah disediakan oleh Unit Penyelidikan Ilmiah JPM (Hal Ehwal Agama) dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bagaimanapun, Dr Zulkifli berkata pembukaan semula masjid dan surau bagi aktiviti agama akan dilakukan sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan yang disediakan dan tertakluk kepada keputusan kerajaan.

“Ya, jika kerajaan berpuas hati dengan garis panduan yang disediakan, juga tahap kerjasama dan keprihatinan rakyat Malaysia secara umumnya sepanjang PKPB disamping mengambil kira nasihat KKM dan MKN.” katanya.

Buat masa ini, berdasarkan pertimbangan pihak-pihak berwajib, kerajaan memutuskan sebarang bentuk aktviti agama berjemaah di masjid dan surau masih dilarang dalam tempoh PKPB.

SUMBER: Harian Metro

Leave a Reply