WHO Jangka Kes Positif COVID-19 Malaysia Memuncak Pertengahan April

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia akan mencapai kemuncak pada pertengahan April ini.

Wakil WHO, Ying-Ru Lo berkata jumlah pesakit kritikal di negara ini dijangka meningkat minggu depan. Bagaimanapun, beliau berkata terdapat kesan positif daripada langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan kerajaan.

“Berdasarkan data yang ada, Pejabat WHO Negara mengunjurkan kes yang dimasukkan ke hospital di Malaysia akan memuncak pada pertengahan bulan ini.

“Ada tanda-tanda lengkungan itu telah diratakan, tetapi kes positif akan meningkat sekiranya tindakan pengawalan itu ditamatkan, dan jika rakyat tidak terus mengambil langkah-langkah keselamatan,” katanya

Tambahnya lagi, berdasarkan data yang dikongsikan kerajaan mengenai jangkitan baharu, serta langkah yang diambil, dapat disimpulkan bahawa penularan itu tidak merebak dengan pantas dalam negara ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga memaklumkan kadar jangkitan baharu setiap hari semakin menurun dengan pelaksanaan PKP selain PKP Diperketat di beberapa kawasan yang dikategorikan sebagai kritikal.

Setakat ini, 105 pesakit coronavirus ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh Malaysia dan 50 kematian dilaporkan setakat ini.

Leave a Reply