Wanita Mengandung Tersadung Meja Ketika Rebut Hadiah Duit, Suami Salahkan Orang Awam

Semalam, berlangsung sebuah program cabaran dengan hadiah wang tunai RM10,000 ditawarkan oleh seorang YouTuber terkenal diadakan di Garden Arena, Rawang.

Difahamkan, cabaran tersebut mengajak 50 pengunjung terawal untuk melakukan beberapa aktiviti termasuk menimbang bulu tangkis dan seorang peserta terbaik akan memenangi wang tunai berkenaan.

Tular video memaparkan kira-kira 50 peserta berlari selepas YouTuber berkenaan melepaskan para peserta dalam cabaran itu.

Bagaimanapun, berlaku perkara tidak diingini apabila seorang wanita dipercayai sedang mengandung terjatuh sebelum dipijak peserta lain dari belakang.

Suami wanita berkenaan yang menyedari kejadian itu terus meluru ke arah isterinya kemudian mengamuk dengan apa yang berlaku pada isterinya. Turut kedengaran, lelaki itu berang serta marah dengan orang awam yang didakwa melanggar isterinya hingga terjatuh.

YouTuber berkenaan turut dilihat cuba menenangkan suami wanita berkenaan serta meminta maaf di atas apa yang berlaku.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang berang serta mempersoalkan sudah tahu mengandung mengapa perlu sertai cabaran tersebut.

Malah, rata-rata netizen yang menonton video tersebut mendakwa wanita itu terjatuh sendiri kerana terlanggar meja yang berada disitu.

Tidak kurang juga, ada yang mengatakan tiada masalah untuk sertai tetapi pastikan isteri bedapa di hadapan bukan di belakang.

Sementara itu, ada yang mendakwa salah lelaki itu sendiri yang memegang tangan isterinya kemudian berlari sehingga menyebabkan wanita itu terjatuh.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lebih lanjut mengenai kejadian itu. Malah, tiada kenyataan daripada YouTuber itu sendiri mengenai perkara tular itu. Harapnya keadaan wanita tersebut baik-baik sahaja.