Sebut sahaja nama Suhaimi Saad, pasti ramai tahu ada sahaja kontroversi terpalit bekas penyanyi nasyid itu lebih-lebih lagi mengenai pendiriannya menolak vaksin.
Bukan itu saja, sebelum ini juga ramai mendakwa penyanyi itu tidak bekerja dan hanya mengharapkan duit isteri, Ina Naim.
Tampil menjawab tuduhan netizen, menerusi satu video Suhaimi mendedahkan pekerjaan sebenar yang dilakukannya.
Menurut Suhaimi, dia menerima royalti sebagai seorang penyanyi, penulis lirik serta pencipta lagu apabila lagu-lagunya dimainkan di televisyen, radio dan sebagainya.
Jelasnya lagi, royalti berkenaan dibayar dua kali setahun dan jika pandai berjimat duit tersebut mampu bertahan selama beberapa bulan.
“Alhamdulillah SS dah menyanyi dari tahun 2000 hingga sekarang dan ada lebih 10 buah album termasuk album bersama In-Team, solo dan album kompilasi. Jadi setiap lagi yang diputarkan akan ada pihak yang akan kutip royalti dan akan bayar kepada artis.
“Kalau SS meninggal dunia nanti royalti tu akan dibayar ke waris iaitu kak Ina Naim dan anak-anak,” katanya.
Kata Suhaimi lagi, dia turut melakukan pekerjaan mengajar Al-Quran secara atas talian serta melakukan perkhidmatan urut.
“Untuk mingguan SS ajar anak-anak mula dari hari Ahad hingga Khamis. Jumaat dan Sabtu SS ambil kesempatan untuk buat khidmat urut. Katakan dua hari tu SS urut 3 orang jadinya 3 orang SS dapat RM300.00,” katanya.
Bukan itu sahaja, Suhaimi bersama Ina juga turut menjual pelbagai barangan produk termasuk kaftan, kopi dan macam-macam lagi.
Apa pun diharap netizen tidak lagu menuduh yang bukan-bukan lagi selepas mendengar penjelasan daripada Suhaimi mengenai kerja yang dilakukannya.