Adakalanya jika amalan baik yang dilakukan secara terang-terangan akan dilabel riak. Namun masih wujud lagi insan berhati mulia yang menderma tanpa mahu identitinya dikenali orang ramai.
Memetik laporan Bernama, seorang penderma misteri telah menyumbangkan sebuah mesin Real Time Polmerase Chain Reaction (PCR) Detection System bernilai RM148,000 untuk kegunaan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) Hospital Sibu menjalankan ujian pengesanan jangkitan COVID-19.
Difahamkan, sumbangan daripada penderma yang enggan dikenali itu dibuat melalui Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr Annuar Rapa’ee, yang menyerahkan peralatan itu kepada Pengarah Hospital Sibu, Dr Mohamad Ng Siah Huat pada satu majlis ringkas.
Dr Annuar berkata, sumbangan itu menjadikan pusat itu kini dilengkapi dua unit mesin berkenaan dan sekali gus meningkatkan lagi kemampuannya untuk menjalankan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 di daerah Sibu dan sekitarnya.
“Mesin baharu ini diterbangkan khas dari Kuala Lumpur hari ini dan ia tambahan kepada mesin yang sedia ada di Hospital Sibu. Takut ada breakdown (kerosakan) jadi perlu ada dua unit. Terima kasih kepada hamba Allah yang menderma,” katanya.
Ada banyak masa terluang? Follow kami di Facebook & Instagram 🙂