Sering kali kita melihat perkongsian bantuan untuk kanak-kanak sakit di media sosial yang sememangnya meruntun hati orang ramai.
Baru-baru ini, tular perkongsian dimuat naik akaun Instagram misirakyat yang sedang berusaha mengumpulkan dana sebanyak RM9 Juta untuk menyelamatkan kanak-kanak bernama Baby Naail.
View this post on Instagram
Difahamkan, baby Naail atau Wan Muhammad Naail kini berusia sembilan bulan menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Athropy (SMA) Type 1 hingga mengakibatkan ototnya semakin melemah dan sukar bernafas.
Naail perlu segera mendapatkan suntikan Zolgensma (Gene Theraphy) yang harganya mencecah USD2.1 juta (RM9.28 juta) untuk sekali seumur hidup bagi menghentikan proses kemerosotan fungsi ototnya.
Penyakit ini menyebabkan ototnya merosot hingga sukar menelan air liur sendiri dan kami perlu kerap menyedutnya menggunakan mesin penyedut kahak jika tidak, otot paru-parunya melemah selain sukar membuang air besar akibat penghadamannya terjejas.
Buat masa ini, Naail mengambil ubat Risdiplam bernilai RM40,400 sebotol setiap bulan untuk membantu keadaannya supaya tidak merosot sementara menunggu dana untuk membeli Zolgensma mencukupi.
Sementara itu, dalam satu perkongsian misirakyat, ada netizen yang bertanyakan sama ada bayi tersebut merupakan anak buah kepada pelakon Fattah Amin.
Komen netizen itu dibalas oleh netizen lain mengiyakan mengenai pertanyaan itu. Namun, ada komen seorang individu ini mengkritik mendakwa disebabkan ada berkaitan artis terus masuk ke page misirakyat sedangkan ramai lagi yang sakit tidak dikongsikan di akaun berkenaan.
Bagaimanapun, komen individu itu kurang disenangi oleh netizen lain yang mengatakan tidak perlu berkata sebegitu. Kata netizen lagi, jika tidak mahu bantu lebih baik diam sahaja.
Individu itu kemudian membalas lagi mengatakan apa yang ditulisnya itu adalah perkara yang betul dan sekadar memahami situasi.
Dalam pada itu, ada netizen lain turut membalas mengatakan misirakyat banyak membantu orang lain sebelum ini serta mempersoalkan mengapa dana untuk Baby Naail dijadikan isu.
Difahamkan, setakat ini sebanyak lebih RM7 juta dana sudah berjaya dikumpulkan dan tinggal 16 peratus lagi untuk mencapai RM9 juta.