Ramai yang masih bimbang dengan penularan Covid-19 di Malaysia yang masih belum menampakkan penamatnya. Setiap kali sidang media khas berkaitan penularan wabak itu, ramai ternanti-nanti kelibat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan harapan ada berita baik.
Namun anda perasan tak, dalam tiga sidang media yang diadakan, Muhyiddin tampil dengan gaya bersahaja lengan baju kemejanya ke paras siku tanpa memakai blazer atau sebarang formaliti khusus.
Seorang perunding imej, Asnawi Yusof ada jawapannya dimana pemilihan gaya pakaian perdana menteri itu adalah tindakan bijak kerana dalam konsep berpakaian, ada beberapa perkara yang memberi kesan psikologi manusia.
Ini termasuklah pilihan warna, padanan corak, aksesori dan juga formaliti pakaian namun ia tidak semestinya benar tetapi ia mampu beri pengaruh secara tidak langsung kepada yang melihat dan mendengar.
Turut memberikan contoh mudah, “Apabila kita tengok seorang warga emas memakai kopiah, berjanggut sederhana panjang dan percakapan sentiasa berlandaskan agama, automatik kita akan memanggilnya ‘tuan haji’.
“Tengok orang pakai sut, bertali leher dan berkasut hitam oxford, sambil bercakap guna iPhone 11 Pro, automatik kita akan kata ‘dia orang berjaya’ atau ‘anak orang kaya’,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan gaya Muhyiddin, Asnawi berkata kemunculan beliau ketika sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengumuman perihal keadaan semasa Covid-19 pada 13 Mac dan 16 Mac lalu ada maksud di sebaliknya.
Pada kedua-dua sidang media itu, Muhyiddin memilih kemeja putih tanpa corak bersama tali leher kelabu gelap dengan corak minimal serta kemeja biru cair bersama tali leher rona sepadan tanpa memakai blazer.
Secara psikologinya, beliau kelihatan suci dan jujur tanpa sebarang ‘maklumat tersembunyi’ yang disimpan dan tali leher yang dipakai memberikan tanda keamanan dan harmoni supaya nampak lebih dekat dengan masyarakat.
Dalam pada itu, Aswani berkata Muhyiddin turut mengurangkan formaliti dengan tidak memakai blazer supaya rasa lebih membumi dengan masyarakat terutamanya golongan rakyat biasa.
Berbeza ketika tampil pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac lalu, beliau mengenakan sut penuh berserta tag nama dan tali leher biru, imej jauh berbeza berbanding dua sidang media sebelumnya.
Asnawi berkata, menerusi pakaian itu dapat dilihat perdana menteri serius kerana perutusan yang disampaikan adalah penting serta bernilai RM250 bilion kepada rakyat.
Ketika inilah katanya, beliau perlu menonjolkan diri sebagai seorang individu yang dipercayai, berkarisma dan profesional dalam melaksanakan tugas sebagai perdana menteri.
Bukan sekadar pakaian, Asnawi berkata pemilihan perkataan yang digunakan dalam ucapan beliau juga cukup dititikberatkan apabila menggunakan bahasa Melayu dengan terma layman (bahasa mudah difahami) serta beberapa ayat bahasa Inggeris khusus untuk masyarakat bandar atau elite people.
SUMBER: mStar Online