Umum mengetahui pihak kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malah, tiada satu rakyat pun yang tertinggal diberi bantuan ketika tempoh PKP ini termasuklah golongan gelandangan.
Sebelum ini hanya berbumbungkan langit, kini lebih 800 gelandangan telah ditempatkan di 4 pusat transit di Kuala Lumpur bagi mengelakkan mereka daripada terdedah bahaya wabak tersebut jika terus berkeliaran di luar.
Bagi memastikan kebajikan gelandangan ini terus terbela, mereka akan ditawarkan pekerjaan selepas tempoh PKP berakhir.
Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, mereka akan disaring dan diberikan latihan untuk menjadi pekerja am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau operator pengeluaran di kilang.
“Selepas tamat PKP, mereka tidak akan dilepaskan untuk bergelandangan lagi. Kita akan memberi mereka 2 pilihan bekerja sebagai pekerja am atau operator pengeluaran.
“Mereka dijangka mula bekerja pada 1 Mei, bergantung sama ada PKP masih berkuat kuasa atau ditamatkan. Mereka akan dipindahkan ke 2 asrama dan memulakan hidup baru dengan bekerja sama ada sebagai operator pengeluaran atau pekerja am,” katanya
Menurut Annuar Musa, mereka akan dibayar gaji bermula RM1,200 hingga RM1,400. Ujarnya lagi, rancangan tersebut adalah untuk memastikan komuniti gelandangan tidak akan tinggal lagi di jalanan.