Hampir sebulan ditutup, dua masjid suci umat Islam iaitu Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah akan dibuka tidak lama lagi sebaik sahaja masalah penularan COVID-19 dapat ditangani.
Perkara itu diumumkan Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais melalui Twitter haramain.info semalamm.
Keadaan dijangka kembali normal tidak lama lagi dan itu tentunya perkhabaran gembira buat keseluruhan umat Islam. Bagaimanapun, tarikh sebenar pembukaan semula tidak dapat dipastikan lagi.
Menurutnya, dua masjid suci itu akan dibuka untuk tawaf dan solat, serta ziarah terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Bagaimanapun, pihaknya tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan membuka dua masjid tersebut kerana perlu mengambil semua langkah pencegahan.
Dalam pada itu, Imam Besar Masjidil Haram itu juga turut meminta umat Islam mendoakan agar pandemik wabak tersebut segera berakhir.
Menurutnya, teknologi moden akan digunakan untuk memperkukuhkan langkah pencegahan bagi menangani pandemik global itu.
Sebelum ini Arab Saudi menggantung sementara solat tarawih di dua masjid suci di Makkah dan Madinah, serta ibadah umrah, bagi mengekang penularan COVID-19.
Setakat ini, Arab Saudi mencatat sebanyak 21,402 kes jangkitan COVID-19 dan 157 kematian.
SUMBER: Awani