Nampaknya, hari ini ramai pihak yang agak sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung untuk berhari raya bersama keluarga selepas diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tengah hari tadi.
Menerusi sidang media itu, Muhyiddin memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan memahami perasaan ramai pihak di atas pengumuman oleh kerajaan itu serta berharap rakyat bersabar.
“Minta maaflah banyak-banyak dan saya juga mohon ampun. Perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tetap tidak dibenarkan.
“Bersabarlah, bila keadaan sudah pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman, menziarahi ibu bapa dan sanak-saudara,” katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin menasihatkan perayaan tetap boleh disambut bersama jiran-jiran terdekat di sekitar kediaman dan ziarah keluarga dalam negeri yang sama dibenarkan dengan mengikuti garis panduan kesihatan yang telah ditetapkan.
“Tapi ini tidak bermakna kita tidak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.
“Ziarah dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa yang sama. Jadi tidak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka,” tambahnya
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menasihatkan agar rakyat tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan iaitu jaga jarak sosial, memakai penutup muka dan hidung serta amalan kebersihan diri.