Melihat keadaan sekarang, ramai yang hilang pekerjaan susulan pandemik COVID-19. Namun ini mungkin berita baik buat belia yang sedang menganggur atau pun hilang pekerjaan.
Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur kepada golongan belia menganggur dengan gaji sebanyak RM2,400 sebulan.
Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata khidmat pekerja tempatan di pasar borong adalah diperlukan memandangkan jumlah pekerja tidak mencukupi kerana warga asing tidak lagi dibenarkan bekerja di sana.
“Kami sedang memikirkan untuk membawa belia kita untuk bekerja dengan kaedah baharu, dalam suasana lebih baik dengan keperluan tempat tinggal dan pengangkutan akan diatur, terutamanya apabila pasar borong moden siap diubah suai,” katanya.
Sebelum ini gelandangan ditawarkan gaji sekitar RM1,400 hingga RM1,600 dalam sektor perkilangan dan Kementerian Wilayah Persekutuan telah berunding gaji sehingga RM2,400 kepada mereka yang mahu bekerja di pasar borong.
Ujarnya lagi, pihaknya telah mengenal pasti beberapa tapak di sekitar ibu kota bagi membina kafetaria, gazebo, warung kecil atau kedai, selain pondok bas dan stesen LRT untuk menyediakan peluang perniagaan kepada golongan muda.
“Sebelum ini, kami telah berjaya mendapatkan peluang pekerjaan kepada warga gelandangan dan kali ini ramai golongan muda hilang pekerjaan dan menganggur akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka kini kami tampil untuk membantu mereka pula,” katanya.
SUMBER: Bernama