Sejak penularan COVID-19 di Malaysia ramai yang terpisah dengan ahli keluarga dan yang tersayang berikutan pintu sempadan ditutup terutama buat mereka yang bekerja di negara jiran Singapura.
Baru-baru ini, tular video memaparkan seorang ibu membawa dua anaknya menyusur Selat Johor dengan menaiki bot kerana sangat rindukan bapa mereka yang terkandas di Singapura, sejak lapan bulan lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Ismaliza Ismail, 39, berkata, tindakan membawa dua anaknya menaiki bot menyusur Selat Tebrau di bahagian Stulang itu untuk melepaskan rindu terhadap bapa mereka, Muhammad Arshad Rahim.
Katanya, kedua-dua anaknya itu sering bertanya bila bapa mereka akan pulang sehingga menyebabkan dia kehabisan kata-kata untuk memujuk mereka.
“Walaupun saya sudah terangkan papa (bapa) mereka perlu bekerja dan tidak dapat pulang selagi sempadan masih ditutup, mereka tetap akan bertanya soalan yang sama ‘mama (ibu), bila papa nak balik’ berulang kali, sehingga saya pun serba salah.
“Kadang-kala saya pun sebak mengenangkan mereka terlalu merindui papa mereka, namun saya perlu kuat dan tidak dibuai perasaan sedih supaya kedua anak saya turut kuat menanti kepulangan papa mereka,”katanya.
Menurut Ismaliza, dia berhasrat membawa anaknya ke Pantai Stulang selepas membaca kisah tular suami melambai isteri dan anak dari Woodlands. Malah, adiknya mencadangkan untuk menaiki bot kecil supaya anak-anaknya dapat melambai bapa mereka.
“Adik saya mempunyai bot kecil untuk memancing turut mencadangkan supaya kedua anak saya menaiki bot menyusur Selat Tebrau di pesisiran Pantai Stulang sahaja supaya mereka dapat melambai papa mereka Sabtu lalu,” katanya.
Ismaliza berkata, kali terakhir dia dan anaknya bertemu suaminya pada malam 17 Mac lalu, sebelum pintu sempadan Malaysia-Singapura, ditutup berikutan penularan wabak Covid-19.
“Suami dan saya pada mulanya beranggapan pintu sempadan hanya ditutup selama dua minggu, namun ia berlanjutan sehingga hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ismaliza turut mendoakan keadaan akan segera pulih seperti sedia kala dan pintu sempadan akan dibuka semula agar mereka sekeluarga akan bersatu semua.
SUMBER: Harian Metro