Suka Korek Kisah Silam Suami Dengan Bekas Kekasih, Akhirnya Isteri Dipukul Suami

Berang dengan sikap isteri yang suka korek kisah silamnya dengan bekas kekasih, seorang pemandu lori berdepan hukuman penjara sebulan selepas didakwa telah mencederakan isterinya itu.

Tertuduh, Muhammad Fais Borhan, 30, yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka siang tadi bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Siti Nur ‘Alia Abd. Manab, 32, atas sebab bangkitan marah kira-kira pukul 2 pagi di rumah mereka di Taman Bukit Cheng, pada 2 Disember lalu.

Difahamkan, tertuduh bertindak mencederakan isterinya menggunakan tangan selepas tidak berpuas hati dengan wanita itu yang sering mencari maklumat mengenai bekas teman wanitanya.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sebulan atau dengan denda boleh sampai RM1, 000 atau kedua-duanya sekali. Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM4, 000.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam jumlah jaminan direndahkan dengan alasan dia tidak sengaja memukul isterinya, selain perlu menanggung tiga orang anak serta telah menyesal.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1, 000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan suspek supaya tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.

SUMBER: Kosmo