Bermula hari ini, pihak polis akan memburu pemilik kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi. Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ia akan dimulakan dalam pengawai dan anggotanya diikuti dengan orang awam.
Kata Datuk Ayob lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan pegawai, anggota polis serta agensi penguatkuasa lain.
“Kita akan mulakan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor dulu. Kita bercakap soal masyarakat tetapi ada antara pegawai dan anggota polis yang tidak ikut peraturan.
“Sejak Januari hingga hari ini, sebanyak 9,985 saman dikeluarkan terhadap kesalahan menggunakan nombor kenderaan fancy.
“Antara alasan diberikan, mahukan keunikan, stail dan lain daripada lain yang dilakukan tidak kira siapa termasuk mat rempit serta ahli perniagaan yang mahu tunjuk status mereka menerusi nombor pendaftaran kenderaan fancy ini,” katanya.
Menurutnya, polis akan menjalankan Ops Khas bagi kesalahan lampu isyarat dan nombor pendaftaran kenderaan fancy sehingga 31 Disember ini.
Ujarnya, ia termasuk mengubah plet kenderaan kerana mahukan kelainan dari segi huruf dan nombor dengan cara merapat atau menjarakkannya. Tindakan tersebut menyebabkan nombor plat sukar dibaca dan mengelirukan.
“Kesannya, apabila penguatkuasa laju, kes langgar lari dan pembabitan dalam kes jenayah yang memerlukan pengecaman plet kenderaan (tetapi tidak dapat dilakukan), individu ini terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.
SUMBER: BH Online