Macam-macam cerita pelik kita dengar dari negara seberang. Terbaru, seorang dari Indramayu, Jawa Barat, Indonesia mendakwa pernah dipulaukan jiran dan rakan sekerja hanya kerana tidak menonton sinetron.
Memetik Tribunews, wanita bernama Sairoh, 40 tahun itu berkata pada awalnya dia tidak mengikuti drama bersiri popular di negara itu bertajuk Ikatan Cinta.
Katanya, ia menyebabkan dia ketinggalan kerana jiran dan rakan sekerjanya sering bersembang mengenai drama berkenaan.
Katanya lagi, drama itu sering menjadi topil perbualan utama jiran dan rakannya tidak kira pada waktu rehat atau sebelum mereka menunaikan solat.
“Mereka sering bercakap mengenai watak utama drama berkenaan iaitu Aldebaran dan Andin sedangkan saya tidak tahu. Jadi saya pun nekad luangkan masa menonton drama berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, selepas kali pertama menonton drama berkenaan, Sairoh berkata dia menjadi ‘ketagih’ hingga tidak boleh terlepas menyaksikan drama itu setiap hari. Selepas itu, Sairoh berkata dia tidak lagi dipulaukan oleh jiran serta rakan sekerjanya.
“Kebiasaannya, saya akan menukar ke saluran lain pada waktu iklan disiarkan.
“Namun, drama Ikatan Cinta membuatkan saya tidak berganjak dan sanggup makan di hadapan televisyen selain berebut dengan anak asalkan dapat menontonnya.
Sairoh juga mengakui menjadi peminat watak Aldebaran yang dilakonkan Arya Saloka dan Andin lakonan Amanda Manopo sehinggakan membayangkan Aldebaran menjadi suaminya.
“Disebabkan terlalu obses, saya pernah membayangkan Aldebaran menjadi suami saya kerana ketampanannya, malah saya suka gandingannya dalam drama itu iaitu Andin,” katanya.
SUMBER: Harian Metro