Susulan pandemik Covid-19, ramai yang terjejas pendapatan sehingga ada yang dibuang kerja. Lebih menyentuh hati, ramai yang terpaksa memohon bantuan makanan disebabkan tiada punca pendapatan.
Baru-baru ini, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Ameer Ali Mydin berkongsi cerita jika sebelum ini ada yang ditangkap kerana mencuri barangan berharga seperti televisyen, tetapi kini cerita kisahnya.
Menurut Ameer, ianya sangat menyedihkan apabila mengetahui ramai yang terlibat kes mencuri tetapi bukan curi barang berharga tetapi bahan-bahan makanan seperti ikan dan sayur.
“Kecurian di pasar raya besar seperti Mydin meningkat, tapi mereka bukan mencuri barang bernilai tinggi.
“Dulu-dulu orang datang dan curi TV, pembesar suara, untuk dijual. Sekarang mereka curi ikan kembung, mereka curi sayur. Ia sangat menyedihkan,” katanya.
Dedah presiden Persatuan Peruncit Bumiputera itu lagi, sejak pandemik Covid-19, penjualan mi segera di pasar rayanya juga melonjak naik.
Ujarnya, bukan kerana ramai yang malas masak, tetapi mi segera adalah makanan yang paling murah untuk mengalas perut.
“Jualan mi (segera) melonjak sangat-sangat tinggi. Adakah kamu fikir orang malas masak? Tidak! Ia berlaku kerana orang tak mampu benda lain.
“Mi ialah (pilihan) yang paling murah untuk mengalas perut. Adakah kita mahu rakyat kita mengisi perut mereka begini? Ini menyedihkan,” katanya.
SUMBER: MalaysiaKini