Minggu lalu negara digemparkan dengan berita cukup menyayat hati apabila berlaku kemalangan maut sehingga meragut nyawa sembilan sekeluarga.
Proton Wira dinaiki wanita, Norul Naziah Buyong, 37, bersama lapan anaknya maut dalam kemalangan tragis apabila kenderaan terperosok di bawah treler selepas berhenti kerana mengalami kerosakan.
Satu-satunya yang terselamat dalam kemalangan tersebut suami Norul Naziah iaitu Abd Razak Majit, serta seorang lagi anak mereka, Haikal Faiz yang tidak terlibat nahas tersebut.
Pastinya ia tamparan hebat buat Abd Razak dan Haikal yang sekelip mata kehilangan keluarga mereka .
Insiden berlaku itu turut mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menziarahi kediaman Abd Razak di Padang Jawa, Seksyen 16, Shah Alam.
https://twitter.com/AzminAli/status/1473971186266558468?
Bagi meringankan beban mereka sekeluarga, Azmin berkongsi berita gembira buat Abdul Razak yang diserap sebagai staf tetap SIRIM, manakala Haikal pula diberi penajaan pendidikan.
“Abd Razak, mangsa kemalangan yang mengorbankan sembilan orang keluarganya adalah pengawal keselamatan kontrak SIRIM (Agensi MITI).
“Hari ini, kami telah mengambil beliau sebagai kakitangan tetap. Kami juga akan menanggung pendidikan anaknya yang tidak terlibat dalam nahas itu, Haikal Faiz.
“Semoga bantuan SIRIM ini dapat meringatkan beban mereka sekeluarga dan mampu menjadi semangat kepada Haikal mengejar cita-citanya,” tulisnya.
SUMBER: Sinar Plus