Bulan lalu hangat diperkatakan mengenai Abang Viva viral yang datang dari Melaka untuk menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam.
Mana tidaknya, dengan hanya berbekalkan RM50 tidak menghalang niat murni Azwan Omar untuk membantu mangsa banjir.
Memetik laporan Harian Metro, Abang Viva yang kini masih bercuti dalam perancangan untuk berhenti kerja dalam masa terdekat ini.
Menurut pemuda berusia 30 tahun itu lagi, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menumpukan perhatian kepada kerja sukarelawan.
“Kerja sukarelawan memberi kepuasan kepada diri dan ketika ini saya lebih selesa membuat kerja kebajikan membantu golongan yang memerlukan bantuan,” katanya.
Mengulas mengenai kerja sukarelawannya kini, Abang Viva berkata dia bercadang membantu membersihkan pusat tahfiz di Pahang yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Katanya lagi, dia juga sudah mengadakan kutipan dana yang dimulakan sejak dua hari lalu melalui Facebook bagi membantu menyediakan peralatan diperlukan di pusat tahfiz.
“Saya enggan mendedahkan jumlah sumbangan yang terkumpul setakat ini dan berharap akan bertambah sebelum meneruskan misi baharu ini,” katanya.
Murah rezeki Abang Viva sekarang, lepas dihadiahkan kereta 4×4 dapat motosikal pula. Semoga rezeki diberikan dapat membuka jalan lebih luas untuk Abang Viva membantu lebih ramai orang selepas ini.
SUMBER: Harian Metro