Nak Kahwin Lagi Punya Pasal, Lelaki Sanggup Palsukan Kematian Isteri

Hanya kerana mahu berkahwin lagi, seorang lelaki berusia 56 tahun bertindak di luar jangkaan apabila sanggup membuat sijil kematian palsu isterinya.

Tidak hanya melakukan perkara itu berseorangan, lelaki bernama Suraji berusia 56 tahun dari Bali, Indonesia itu turut dibantu oleh seorang lelaki bernama Abdul Munir.

Memetik laporan Suara.com, isteri Suraji, Diah Suartini mengatakan bahawa dia pergi ke pejabat agama kerana ingin mengesahkan perkahwinannya bersama suaminya.

Ia berikutan selepas lelaki berkenaan mengaku sudah berkahwin dengan wanita lain yang bernama Hernanik.

“Saya pergi ke pejabat agama kerana saya pelik macam mana suami saya boleh berkahwin lain sedangkan saya tak beri izin,” katanya.

Namun, wanita itu terkejut sebaik sahaja mendapat tahu suaminya telah mengisi borang dengan menulis dirinya sudah meninggal dunia semata-mata untuk berkahwin lain.

Kata wanita itu lagi, semenjak suaminya itu berkahwin lain, kebajikannya serta nafkah nafkah anak-anak sering terabai.

“Saya sakit hati betul. Dia tipu dengan mengatakan yang saya dah meninggal dunia sejak 2016 semata-mata nak kahwin lain. Kami dah berkahwin selama 33 tahun pada 1 Ogos 1989,” katanya.

Difahamkan, Suraji dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan, manakala Abdul Munir dipenjara selama enam bulan kerana bersubahat selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Negeri Denpasar, Indonesia.

SUMBER: Oh Bulan